Majistret Muhammad Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut  setelah  pengarah sumber manusia syarikat Human Connection HR (M) Sdn. Bhd., Salmah Ali, 51, yang  hadir mewakili syarikat itu mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Syarikat tersebut didakwa atas 16 pertuduhan sebagai majikan kepada lapan pekerja asing warga Nepal berusia antara 20 dan 30 tahun didakwa gagal membayar gaji pokok seperti yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2016 iaitu sebanyak RM1,000 bagi bulan Ogos dan September tahun lalu.

Bagi 18 pertuduhan lain, syarikat itu didakwa gagal mendapatkan kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk membuat potongan upah pada bulan September, Oktober dan November tahun serupa bagi tujuan tempat tinggal lima pekerja asing lain berjumlah RM100.

Syarikat tersebut didakwa melakukan kesemua perbuatan terbabit di premis pejabatnya di Jalan 241, Seksyen 51A di sini pada 10 Oktober tahun lalu.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen  43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Seksyen 24 Akta Kerja 1995 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 99A akta sama yang kesemuanya membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja.

Mahkamah memerintahkan syatikat itu dikenakan denda RM1,500 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan gagal membayar gaji pokok dan denda RM800 atau penjara sebulan bagi setiap pertuduhan bagi dakwaan membuat potongan gaji tanpa kebenaran. - UTUSAN ONLINE