AINON NAZUWA MAT JAMAL yang mewakili sebuah syarikat ternakan lembu tenusu yang didenda RM10,000 kerana menjual 37 ekor lembu yang berpenyakit tibi tanpa kebenaran Jabatan Veterinar di Mahkamah Majistret Klang hari ini. - MOHD. SHAHARANI SAIBI/UTUSAN

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas pemilik syarikat SK Diary Farm, Ainon Nazuwa Mat Jamal, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Gagal membayar denda, wakil syarikat itu boleh dihukum penjara empat bulan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa melupuskan 37 ekor lembu baka Frisien yang disahkan berpenyakit Tuberkulosis (Tibi) tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah ladang lembu di sekitar Kampung Lombong di sini kira-kira pukul 10 pagi, 28 Disember 2016.

Pertuduhan terhadap syarikat itu dikemukakan mengikut Seksyen 34(1) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 10 November 2016, beberapa kakitangan teknikal dari Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) Klang telah mengambil sampel darah 74 lembu di ladang syarikat tersebut.

Hasil ujian Bovigem dan Comparative Cervical Tuberculine (CCT) kemudian mendapati 39 daripada lembu itu positif Tibi dan arahan pelupusan lembu terbabit telah dikeluarkan pada 6 Disember 2016.

Bagaimanapun, ketika kakitangan PPDV Klang ke ladang terbabit untuk melaksanakan arahan itu, didapati hanya tinggal dua ekor lembu daripada 39 ekor lembu yang telah disahkan berpenyakit Tibi yang tinggal, selebihnya telah dijual.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Selangor, Mohd. Faiz Ajis yang mengendalikan pendakwaan kes memohon hukuman berat berikutan kesalahan tersebut dianggap serius dan membabitkan jumlah lembu yang banyak.

“Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan pada 2016, Selangor mencatatkan jumlah pesakit Tibi tertinggi iaitu lebih 1,600 kes.

“Bagi kes ini, kami tidak mengetahui ke mana atau kepada siapa 37 lembu itu dijual sedangkan produk tenusu dan daging lembu itu telah tercemar serta berisiko menjangkiti manusia,” katanya.

Ainon Nazuwa yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman minimum dengan alasan ini adalah kesalahan pertama pihaknya.