Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner (ACP) Fazlisyam Abdul Majid memberi jaminan kes itu akan diselesaikan secepat dengan penahanan suspek sehari selepas kejadian, dan akan dituduh di mahkamah dalam waktu terdekat ini.

Menurutnya, penganggur berusia 25 itu bakal berdepan enam pertuduhan termasuk kes samun dan rogol di bawah Seksyen 376 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari daerah ini ditangkap ketika bersembunyi sebuah hotel bajet di bandar raya

ini pada petang 2 Ogos lalu, dan daripadanya turut dirampas sejumlah barangan antaranya tali pinggang, telefon bimbit serta wang tunai RM412.

“Setelah pemeriksaan ke atas suspek, polis turut merampas beg sandang, topi celoreng serta baju dan seluar jeans yang kita percaya digunakan suspek ketika kejadian selain sejumlah pil kuda.

“Hasil siasatan kita mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lain seperti kes curi kenderaan dan pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.45 malam di kedai menjual pakaian wanita itu 1 Ogos lalu, suspek yang memakai topi dan beg sandang dikatakan meluru masuk ke premis berkenaan kononnya untuk membeli pakaian sebelum melakukan samun.

Selepas menyamun, suspek kemudian menarik mangsa keluar dari kaunter dan merogol gadis terbabit dalam premis itu sebelum melarikan diri.

Mangsa kemudian menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sejurus selepas kejadian.-UTUSAN ONLINE