Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, anggota tentera berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kematian Laskar Kelas 1 Nik Mohammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad LailatuIman Mohd. Sukri, 29.

Seksyen 302 akta tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut Tian Kee, dua lagi anggota TLDM akan didakwa mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah serta melakukan ugutan jenayah.

“Selebihnya empat suspek lagi akan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Sejak siasatan kes itu dijalankan, seramai tujuh suspek yang merupakan pengawal bilik tahanan telah direman secara berperingkat-peringkat bermula 1 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

Dua daripada suspek terbabit turut direman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya.

Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad LailatuIman meninggal dunia ketika berada di dalam bilik tahanan berkenaan pada 29 September lalu.

Laporan bedah siasat yang dilakukan keesokannya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mengesahkan mereka meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru berpunca daripada trauma tumpul pada bahagian tisu.