Suspek yang berumur 19 tahun itu kemudiannya diperintah untuk direman tujuh hari hingga Selasa depan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Norharyatie Mohd. Said selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Zakaria Zainal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, lelaki tersebut yang tidak bekerja juga dipercayai menggunakan kad kredit milik mangsa.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas motosikal Yamaha Y152ZR dan sebuah topi keledar milik mangsa yang berada dalam simpanan suspek.

‘‘Siasatan turut mendapati lelaki tersebut tidak mengubah nombor pendaftaran motosikal itu,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen­ 302 Kanun Keseksaan kerana mem­bunuh.

Pada 22 Januari lepas, Mahusin, 28, yang bertugas di Klinik Kesihatan Port Dickson ditemukan mati dibunuh di kediaman­nya di tingkat empat Kuarters Kakitangan Klinik Kesihatan Lukut.

Siasatan awal berdasarkan keadaan mayatnya mendapati mangsa meninggal dunia lebih 72 jam sebelum ditemukan.

Bedah siasat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban mengesahkan mangsa mati akibat hentakan benda keras pada kepala.– BERNAMA