Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, penubuhan JAC haruslah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan diberi tanggungjawab untuk membuat cadangan terus kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu melalui badan eksekutif.

Katanya, komposisi suruhanjaya tersebut juga bukan sahaja mengandungi wakil daripada badan kehakiman, tetapi juga semua pihak lain termasuk Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, Sarawak Advocates Association, Sabah Law Society, pakar akademik dan masyarakat sivil.

“Badan kehakiman mesti bebas daripada kepentingan politik dan campur tangan eksekutif supaya individu yang dipilih dapat menjalankan peranannya dengan berkesan dalam satu sistem perasingan kuasa yang mementingkan semak dan imbang bagi menghalang penyalahgunaan kuasa.

“Suruhanjaya tersebut juga perlu diberi ruang untuk membuat keputusan muktamad mengenai pelantikan dalam sektor kehakiman. Syor keputusan itu kemudiannya akan diserahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Majlis Raja-raja untuk diteliti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE