Kesemua penghuni pusat pemu­lihan akhlak berusia 18 dan 19 tahun itu masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Keempat-empat tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan hubungan seks dengan memasukkan objek berkenaan ke dalam kemaluan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun 10 bulan di bilik Melor STB Sungai Lereh, Tanjung Kling, di sini pada pukul 5 petang, 9 April lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi memohon semua tertuduh tidak dibenarkan bebas de­ngan jaminan kerana bimbang salah seorang daripada mereka yang akan tamat perintah pemulihan pada Mei ini me­larikan diri. Perintah pemulihan tiga lagi tertuduh akan tamat pada tahun depan.

Beliau bagaimanapun mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili kesemua tertuduh pula memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang memandangkan mereka berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu meneruskan pemulihan di STB sehingga kes selesai sebagai syarat tambahan.

Selain itu, mahkamah memerintahkan keempat-empat tertuduh diasingkan daripada mangsa dan saksi-saksi perbicaraan serta menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.