Tertuduh berusia 53 tahun dari sebuah kampung di Pekan dituduh melakukan perlakuan itu terhadap anak perempuannya yang kini berusia 20 tahun dalam dua prosiding di Mahkamah Se­syen berasingan.

Di Mahkamah Seysen 1, tertuduh yang merupakan nelayan sungai dikenakan hukuman penjara selama 40 tahun oleh Hakim Datuk Unaizah Mohd. atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram pada 20 Oktober 2013 dan 24 Oktober 2014.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan keji itu di sebuah rumah rakit di tepi Sungai Pahang, Kampung Tebat kira-kira jam 8.30 malam pada tarikh berkenaan ketika anak sulung daripada lima ber­adik itu berusia 16 dan 17 tahun

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 30 tahun dan sebatan.

Unaizah mengenakan hukuman penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya dijalankan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Tim­­balan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hassim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen 4 pula, tertuduh dikenakan hukuman penjara 75 tahun dari tarikh tangkap dan 30 sebatan atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya yang sama pada 14 dan 22 September serta 3 Oktober lalu di lokasi sama serta waktu sama.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman 25 tahun penjara dan 10 kali sebatan terhadap setiap pertuduhan setelah mendengar hujah daripada pihak pendakwaan yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Har­yati Abdullah.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 kali sebatan, bagaimanapun hukuman sebatan ke atas tertuduh dikurangkan berikutan Seksyen 288 Kanun Ta­tacara Jenayah memperuntukkan seseorang pesalah hanya boleh disebat maksimum 24 sebatan.

Sebelum itu dalam hujahannya, Haryati memaklumkan mangsa melarikan diri dari kediamannya pada 6 Disember lalu selepas tidak tahan diperkosa oleh tertuduh sejak empat tahun lalu sebelum bertindak membuat laporan polis pada 13 Disember lepas.