Saman tersebut berhubung petikan dalam buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose yang mengaitkannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Sultanah Nur Zahirah dalam sidang akhbar di firma guaman, Tetuan J.S. Pillay & Mohd. Haaziq di Petaling Jaya petang ini mengesahkan, pihaknya telah memfailkan saman tersebut menerusi sistem e-filing Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 2 petang tadi.

Sultanah Nur Zahirah selaku pihak plaintif menamakan Rewcastle-Brown, Gerakbudaya Enterprise dan pencetak buku tersebut, Vinlin Press Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutannya antaranya menuntut ganti rugi am.

Menurut Mohd. Haaziq, pihaknya tidak menuntut perintah injunksi kerana hal itu suatu yang bersifat akademik.

“Kami juga tidak menuntut permohonan maaf kerana masa lebih dua bulan telah memadai daripada yang sepatutnya untuk pihak defendan memohon maaf. Saman ini difailkan setelah malam tadi pihak Sultanah Nur Zahirah menitahkan supaya pihaknya memfailkan tindakan tersebut hari ini,” ujar Mohd. Haaziq.

Menurut peguam itu, apa sahaja yang dituntut oleh pihaknya adalah berdasarkan surat tuntutan yang dikeluarkan pihaknya sebelum ini.

Mohd. Haaziq berkata, saman itu difailkan untuk membersihkan nama dan reputasi Sultanah Nur Zahirah.

Menurut beliau, saman tersebut akan diserahkan oleh pihaknya kepada pihak defendan secepat mungkin.

Peguam itu turut menyentuh tentang kandungan pada muka surat tiga buku tersebut sebelum pihaknya mengadakan sidang akhbar, pihak plaintif disebut sebagai isteri Sultan.

Namun katanya, selepas sidang akhbar dibuat, di perenggan yang sama dan muka surat yang sama, Sultanah Nur Zahirah disebut sebagai adinda Sultan.

Peguam Mohd. Hilmi Sarbini yang turut mewakili pihak plaintif menyatakan, tindakan pihak defendan meminda perkataan tersebut sudah menggambarkan mereka menyedari mereka melakukan suatu kesilapan.

Menurut Mohd. Haaziq, mahkamah telah menetapkan 19 Disember ini untuk pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar K. Pavani.

Mohd. Haaziq bagaimanapun tidak mendedahkan butiran yang terkandung dalam pernyataan tuntutannya.

Dalam kenyataan memohon maaf yang dibuat pada 28 September lalu, Rewcastle-Brown turut menyebut tulisan buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose dibuat berdasarkan kenyataan Jho Low yang selalu bermegah kerana sering bersosial dengan keluarga diraja termasuk dalam mendapatkan jawatan dalam Terengganu Investment Authority (TIA).

Pada 14 September lalu, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu telah mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Sultanah Nur Zahirah sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan TIA.

Kenyataan itu menyangkal dakwaan di muka surat tiga buku itu yang menyebut “Jho was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the Sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position”.

“Sultanah juga tidak pernah pada bila-bila masa mengenali ataupun mempunyai sebarang hubungan dengan penama ‘Jho’ yang tersebut dalam buku itu,” menurut kenyataan tersebut. - UTUSAN ONLINE