Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 di bawah bidang kuasa mahkamah syariah di negeri ini dan bukannya ditentukan oleh mana-mana parti politik atau pemimpin.

Katanya, tindakan Suhakam mempersoalkan hukuman sebatan dan denda ke atas kedua-dua wanita tersebut sebagai bertentangan dengan nilai martabat manusia juga disifatkan tidak masuk akal ketika seluruh institusi kehakiman syariah di Malaysia meletakkan hubungan songsang sebagai perkara abnormal.

“Isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini sudah lama dalam masyarakat, adakah Suhakam menggalakkan negara kita ini tiada undang-undang apabila pesalah hubungan songsang yang turut merendah nilai martabat manusia boleh menuntut hak?

“Kalau begitu orang yang melakukan kesalahan zina pun boleh tuntut hak mereka nanti. Kita ini bukan hidup dalam undang-undang rimba, malah di atas jalan raya pun ada peraturan yang perlu dipatuhi, hormatilah keputusan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahad lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan terhadap tertuduh yang masing-masing berusia 32 dan 22 tahun itu.

Kedua-dua wanita yang dituduh cuba melakukan hubungan seks ketika ditahan dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, kira-kira pukul 1.50 petang pada 8 April lalu itu turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membuat keputusan tersebut selepas pasangan berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kamalruazmi dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan bertentangan dengan fitrah yang ditentukan Allah.

Bagaimanapun, Kamalruazmi menetapkan 28 Ogos ini sebagai tarikh pelaksanaan hukuman sebat dan kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM1,500 dan dua penjamin setiap seorang sementara menunggu tarikh itu.

Menurut Satiful Bahri, sebagai badan bebas yang memperjuangkan hak asasi manusia, Suhakam sepatutnya mendidik masyarakat mengenai perundangan yang benar dan bukannya mengelirukan orang ramai dengan memutarbelitkan fakta.

“Saya minta Suhakam hentikan perbuatan mereka kerana masing-masing tahu hak dan bidang kuasa masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE