Azahar Adon, 56, Rosli Bali, 55, dan Yusof Ali, 60, semuanya bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ketika kejadian itu berlaku.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memperoleh rasuah daripada Mohd. Rizal Jantan melalui Mariani Ismon sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan ke atas Mohd. Rizal di pekarangan Stesen Minyak Petronas di Kilometer 2, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) kira-kira pukul 5 petang, 22 April 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohammed Heikal Ismail mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh manakala peguam, Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri yang mewakili tertuduh-tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan Azahar dan Rosli masing-masing menyara keluarga, manakala Yusof pula hanya bergantung kepada pencen.

Hakim Asmadi Hussin kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, selain mengarahkan ketiga-tiganya melaporkan diri di Pejabat SPRM Shah Alam setiap Isnin minggu pertama pada setiap bulan serta sebutan semula kes pada 10 Mei ini.