Perkara tersebut disahkan hari ini oleh peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewaki­li Adam Fahmy Shamsuddin, 38, selaku pihak defendan ketika sebutan kes tersebut di hadapan Hakim Syarie, Mohamed Hizwan Mohamed Nor.

Bagaimanapun menurut Ahmad Nazib, pihaknya diarah oleh Adam Fahmy untuk mencadangkan beberapa perjanjian penyelesaian bagi perceraian secara baik bersama Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 36, selaku plaintif.

“Saya baru dilantik oleh anak guam pada minggu lalu dan pihak kami dalam proses draf cadangan perjanjian penyelesaian untuk diteliti dan dijawab oleh pihak plaintif,” katanya yang turut memaklumkan anak guamnya tidak hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.

Peguam syarie, Izyan Haz­wani Ahmad yang mewa­kili Ezlynn memaklumkan bahawa anak guamnya terkejut de­ngan tindakan defendan mahu mengemukakan cadangan perjanjian penyelesaian kes perceraian mereka.

“Pihak defendan sedang men­­cadangkan penyelesaian, kami bagaimanapun masih belum menerima draf cadangan tersebut,” katanya.

Sementara itu Ahmad Nazib ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, cadangan perjanjian yang akan dikemukakan itu antara lain melibatkan isu-isu berkaitan harta sepenca­rian, idah dan mutaah.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung cadangan perjanjian itu dengan lebih terperinci.

Ezlynn ketika menjawab pertanyaan pemberita memberi­tahu, dia amat terkejut dengan cadangan tersebut kerana sebelum ini Adam Fahmy yang juga pengurus peribadinya enggan melepaskannya selepas permohonan perceraian itu dibuat olehnya tanpa menuntut sebarang hak.

Mahkamah kemudian mene­tapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan mendengar keputusan cadangan perjanjian bagi ke­dua-dua belah pihak.

Pada 30 Mei lalu, akhbar me­la­porkan kedua-dua belah pihak telah melantik ahli keluarga masing-masing sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mengatasi masalah tersebut.

Ezlynn yang pernah me­ngaca­rakan program realiti, Men­tor sebelum ini memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Januari lalu.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011, namun sehingga sekarang mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.