Hazmi Majid, 36, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa membunuh bayi perempuan tersebut di sebuah rumah di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini antara pukul 10.30 pagi dan 1.30 petang, 7 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 17 Januari ini untuk sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan perubatan mangsa.

Dalam pada itu, Hazmi dijangka didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana memasukkan objek ke dalam kemaluan dan dubur mangsa sama di Mahkamah Sesyen Kajang, Khamis ini.

Isteri tertuduh yang turut direman selama 14 hari dilepaskan dengan bon serta dijadikan saksi kes tersebut.

Akhbar sebelum ini melapor­kan, pasangan suami isteri tersebut ditahan selepas Zara meninggal dunia pada 9 November lalu setelah dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami penga­suhnya.

Hasil bedah siasat di Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah impak tumpul pada kepala menyebabkan tempurung kepalanya pecah dan terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri serta kanan malahan terdapat kesan koyakan baharu pada selaput dara dan dubur mangsa dipercayai akibat penderaan seksual.

Pada 10 November lalu, menurut kenyataan pihak polis, sepanjang tempoh ibu mangsa menghantar anaknya di bawah jagaan pengasuh, Zara dijaga sepenuh masa oleh tertuduh yang didapati positif methamphetamine.