Mohd. Faizal Che Zain, 33, dan isterinya, Nursir Elyana Basiruddin, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Taman Bukit Beruang Utama, di sini kira-kira pukul 7.30 petang, 3 Jun 2017.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Faizal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Zaki Abd. Rashid, 27, dengan cara memukulnya menggunakan sebilah pedang bersarung.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Nursir Elyana pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan cara memukulnya menggunakan tangan iaitu kesalahan mengikut Seksyen 323 kanun serupa yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Ishak Kari yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah mencapai penyelesaian bersama mangsa dan akan menghantar dokumentasi ke pejabat pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Majistret Lee Kim Keat kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 terhadap Mohd. Faizal manakala Nursir Elyana dikenakan jaminan RM1,500, masing-masing dengan seorang penjamin selain menetapkan 2 Mei ini untuk sebutan semula kes.