Mohd. Raji @ Mohd. Radzi Kasdi, 51, yang merupakan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan isterinya,

Norlela Surip, 49, iaitu bekas kerani di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan Pentadbiran Am, Menara Perkeso, di sini antara 23 Januari dan 27 Januari 2017.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Raji didakwa telah memberi kepada seorang pengurus cawangan (Pentadbiran Am), Bahagian Khidmat Pengurusan Perkeso invois berjumlah RM42,000 daripada syarikatnya, Nadzwa Resources yang mengandungi butiran palsu mengenai kerja-kerja pembekalan dan penghantaran pelbagai cenderahati kepada pihak Perkeso walhal pembekalan itu tidak dilakukan.

Pertuduhan bagi Mohd. Raji dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.


Norlela pula didakwa telah bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan sama dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta serupa.

Kedua-duanya juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu didakwa bersama-sama memberi kepada pengurus terbabit invois mengandungi butiran palsu syarikat M’Dia Enterprise berjumlah RM49,500 bagi membekalkan dan menghantar gambar berserta bingkai kayu mengenai kerja-kerja pembekalan gambar berserta bingkai kayu kepada Perkeso sedangkan pembekalan itu tidak dilakukan.

Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 18 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen 24 Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Amira Sariaty Zainal mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan namun pasangan yang tidak diwakili peguam itu memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung anak yang masih bersekolah.

Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain menetapkan sebutan kes pada 10 Mei ini.