MOHAMMAD ZAWANI MOHAMMAD JASNI dan Azreen Junysar ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, semalam. utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

Mohammad Zawani Mohammad Jasni, 30, yang merupakan penjual kereta dan isterinya, Azreen Junysar, 29, seorang suri rumah masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, pasa­ngan berkenaan didakwa mengabaikan anak mereka daripada mendapat rawatan perubatan dan pemeliharaan mencukupi sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal yang membawa kepada kematiannya pada 9 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Ke­seksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari yang me­ngendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 de­ngan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala pasangan itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut.

“Saya mohon kalau boleh jaminan dikurangkan kerana saya ada seorang lagi anak untuk ditanggung. Gaji saya kira-kira RM2,000 sebulan manakala isteri tidak bekerja. Isteri sebelum ini hanya mengambil upah menjaga kanak-kanak dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan,” kata Mohammad Zawani.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 27 Ogos ini.

Pada 10 Julai lalu, akhbar melaporkan kematian Muhammad Luthhakim, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Ching selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di Taman Permatang Badak di sini, pada hari yang sama.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kemudian di­sahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada salur makanan kerana salur darah pecah disebabkan pukulan kuat selain terdapat kesan melecur pada kemaluan serta lebam di pergelangan kaki, belakang badan, pinggang, punggung dan ketiak.