Hisyamuddin Che Ali, 32, dan Nur Ain Aliana Mat Azmi, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di Maybank Islamic, Jalan 9/9C, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dekat sini pada 6 Januari dan 7 Disember 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat  didakwa memiliki wang berjumlah RM928.29 di dalam akaun bank milik MGSB Berhad yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melupuskan wang berjumlah RM55, 167,570 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui 72 keping cek daripada akaun bank milik MGSB Berhad.

Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa memindahkan wang berjumlah RM1,300,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank milik MGSB Berhad ke dalam akaun bank milik Hisyamuddin Che Ali dan akaun milik MGSB Mart.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) dan dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah aktiviti wang haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Datin Surita Budin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM100,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ida Masliza Maarof sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hisyam Nen. - UTUSAN ONLINE