Muhammad Hafiz Rasip, 29, dan Nur Khalimah Fatihah Mohd. Affandi, 25, ma­sing-masing mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah menganiaya bayi perempuan mereka dari segi fizikal sehingga menyebabkan anak mereka termakan dadah.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan pasangan terbabit kira-kira pukul 7.30 malam, pada 11 Julai lalu di sebuah rumah di Jalan Semabok di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Sek­syen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperun­tukkan hukuman penjara mak­­­simum 20 tahun atau denda sehingga RM50,0000 atau kedua-dua­nya jika sabit kesalahan.

Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada hukuman tersebut, meme­rintahkan supaya tertuduh hendaklah menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh dan syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira risiko penga­baian dan penganiayaan oleh tertuduh terhadap mangsa.

Peguam Farid Aziz yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai pembantu di warung milik bapa Muhammad Hafiz.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Norma membenarkan jaminan seba­nyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 3 Oktober ini, sebutan semula kes.