Hakim Johari Hassan menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohd. Fairus Sauti, 32, yang juga seorang penganggur mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fairus didakwa merompak seutas rantai leher berwarna kuning keemasan milik isterinya, Rosilawani Awang, 30, dan membawa lari kereta jenis Perodua Axia.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Stadium Utama, di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 25 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebatan.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Hukuman penjara setahun itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 26 Julai lalu. - UTUSAN ONLINE