Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, Amirul Imran Ahmat, 39, berkata, surat berhubung pinjaman tambahan berkenaan yang bertarikh 13 Mac 2012 itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Beliau berkata, dalam satu mesyuarat bersama ketuanya, Ahmad Norhisham Hassan serta wakil daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International, pihak KWAP telah menerima salinan resolusi bertarikh 17 Februari 2012 yang merupakan kelulusan kerajaan untuk memberikan jaminan kepada SRC International berhubung pinjaman tambahan itu.

“Ahmad Norhisham kemudian telah mengarahkan saya untuk menyediakan Kertas Panel Pelaburan bagi tujuan pertimbangan Panel Pelaburan KWAP. Kertas itu menyatakan Menteri Kewangan telah meluluskan permohonan dan menasihatkan syarikat untuk mendapatkan pinjaman tambahan memandangkan KWAP telah memberikan pinjaman terdahulu.

“Pada 20 Mac 2012, Ahmad Norhisham telah membentangkannya dan saya dimaklumkan hasil keputusan mesyuarat bahawa permohonan itu telah diluluskan dengan syarat sama seperti pinjaman pertama iaitu perlu ada jaminan kerajaan,” katanya dalam penyataan saksi ketika perbicaraan kes Najib yang masuk hari ke-13 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-29 ketika menyambung keterangannya berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani surat jaminan Kerajaan ke atas pembiayaan pinjaman KWAP kepada SRC International bagi tempoh sepuluh tahun pada 27 Mac 2012.

“KWAP ada menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 28 Mac 2012 yang merupakan persetujuan Kerajaan untuk memberikan jaminan kepada SRC International selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012.

“Surat ini turut memohon KWAP untuk mempertimbangkan agar pengeluaran wang pinjaman dapat dilakukan terlebih dahulu dan kementerian Kewangan memberikan akujanji untuk menyerahkan jaminan Kerajaan selewat-lewatnya sepuluh hari,” katanya.

Ujar saksi itu, pada 28 Mac juga, beliau dimaklumkan oleh Bahagian Perkhidmatan Sokongan Pelaburan KWAP bahawa wang pinjaman tambahan tersebut telah dikeluarkan oleh KWAP dan dimasukkan ke dalam akaun SRC International.

Saksi berkata, perkara tersebut (wang dikeluarkan dahulu sebelum mendapat surat jaminan) tidak pernah berlaku dan ia merupakan kali pertama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali masih berlansung. - UTUSAN ONLINE.