Panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Idrus Harun dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan demikian selepas berpuas hati terdapat merit dalam permohonan tersebut.

Hakim Idrus mencapai keputusan itu bersama Datuk Yaakob Md. Sam manakala Datuk Rhodzariah Bujang mencapai keputusan menentang.

SPR memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Disember lalu yang membenarkan kerajaan negeri menggantung kesemua inkuiri tempatan sehingga rayuannya selesai.

Hakim Azizul Azmi Adnan membuat ketetapan itu sewaktu menolak permohonan semakan kehakiman Kerajaan Negeri Selangor bagi mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di negeri itu.

Pada 19 Oktober tahun lalu, kerajaan negeri yang diwakili Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memfailkan permohonan bagi mencabar cadangan SPR mengadakan persempadanan semula.

Beliau memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Ahli Parlimen Gombak itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal. - UTUSAN ONLINE