Menurut portal The Edge, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi dan bersidang bersama Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Suraya Othman memutuskan demikian atas alasan pegawai pengurus, Amino Agus Suyub bukan seorang penjawat awam.

Mahkamah turut memerintahkan Streram untuk membayar kos sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tidak memberikan sebarang kesan terhadap Pilihan Raya Kecil Rantau yang telah ditetapkan pada 13 April ini.

Pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan SPR dan Amino Agus untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Streram atas alasan kes saman salah laku itu adalah berasingan dengan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban melibatkan petisyen pilihan raya.

Streram memfailkan saman pemula pada 7 Mei 2018 terhadap SPR dan Amino Agus dakwaan berlaku salah laku ketika proses penamaan calon dan menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE