Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian di kamar hakim di sini selepas menolak bantahan awal dikemukakan Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR selaku pihak responden.


Peguam A. Vasanthi yang mewakili Sivarraajh ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman berkenaan.


Sivarraajh, 43, yang juga Naib Presiden MIC memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 31 Disember tahun lalu bagi memohon perintah untuk membatalkan keseluruhan keputusan SPR yang tidak membenarkan beliau bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya untuk tempoh masa lima tahun bermula 13 Disember lalu.


Beliau turut memohon deklarasi bahawa laporan Hakim Pilihan Raya bertarikh 13 Disember lalu adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 37 (1)(a)(i) dan (ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Beliau juga memohon satu deklarasi bahawa keputusan SPR itu adalah tidak sah dan bersifat penindasan terhadap pemohon. Sehubungan itu, pemohon menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas.


Pada 30 November tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen 
Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.


Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu memutuskan amalan rasuah terbukti telah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Sivarraajh dalam pilihan raya itu, iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.


Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pula pada 22 Januari. - UTUSAN ONLINE.