Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Supe­rintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 39, memaklumkan perkara tersebut kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada perbicaraan hari ke-10 kes bunuh lelaki Korea Utara, Kim Chol atau turut dikenali sebagai Kim Jong-nam.

Menurutnya, Siti Aisyah, 25, yang direkodkan telah keluar dari negara ini sejak 28 Januari lalu telah ditahan di Hotel Flamingo, Ampang dekat sini pada 16 Februari lalu manakala Thi Huong, 28, yang memasuki Malaysia pada 4 Februari ditahan di Aras 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 15 Februari lepas.

Kedua-dua wanita itu didakwa membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu dan pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menjawab soalan berhubung ‘empat suspek yang masih bebas’, saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu, pihak polis masih gagal untuk membuat tangkapan berikutan ketiadaan maklumat mengenai mereka selain nama gelaran yang diberikan oleh tertuduh-tertuduh.

Wan Azirul Nizam turut menjelaskan, seorang lagi lelaki Korea Utara, Ri Jong-chol yang pernah ditahan sebelum ini dibebaskan selepas pihak berkuasa mendapati tiada sebarang bukti yang membolehkannya didakwa di mahkamah.

“Jong-chol sebelum ini ditahan kerana berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kenderaan yang didaftarkan atas nama lelaki itu telah digunakan untuk menghantar dua daripada empat suspek yang masih bebas ke KLIA2 pada hari kejadian. Kenderaan tersebut merupakan sebuah kenderaan jenis Naza Ria warna pe­rak atau kelabu,” ujarnya.

Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Azmi Ariffin memutuskan untuk menerima masuk salinan pasport Jong-nam sebagai bahan bukti dan ditandakan sebagai P7 selepas meneliti keterangan Wan Azirul Nizam dan hujah pihak-pihak terlibat atas alasan walaupun ia adalah salinan daripada dokumen perjalanan yang asal.

Pasport mangsa tersebut telah diserahkan kepada wakil Kedutaan Korea Utara yang juga bekas Duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ri Tong-il pada 30 Mac lalu selepas diarahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

Pada sesi petang, Wan Azirul Nizam mengaku melakukan kesilapan apabila terlewat hampir tujuh bulan untuk menghantar satu bungkusan plastik berisi barang kes bertanda K-26 untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia kerana terpaksa menguruskan jumlah eksibit (bahan bukti) yang terlalu banyak.

“Saya ada buat penghantaran pada asalnya untuk eksibit bertanda K-26 ini ke bahagian Senjata Kimia (CW) tetapi terlepas pandang untuk menghantar eksibit ke bahagian asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Negeri Sela­ngor, Muhamad Iskandar Ahmad.

Katanya, beliau menerima barang kes iaitu sampel darah, kuku, bulu serta pakaian-pakaian daripada Siti Aisyah, dan menghantarnya ke tiga bahagian di Jabatan Kimia di Petaling Jaya pada 16 Februari lalu.

Wan Azirul Nizam berkata, barang kes bertanda K-26 berisi baju berwarna seakan kelabu tanpa lengan dan skaf berorak hitam putih ke Jabatan Kimia pada 20 September lalu.

Perbicaraan bersambung esok.