Tertuduh pertama dalam kes itu juga telah diarahkan oleh ‘kawan James’ yang juga dikenali sebagai Chang atau Hong Song Hac untuk terus ke tandas selepas melakukan aksi tersebut.

Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh peguam, Gooi Soong Seng berdasarkan rakaman percakapan wanita terbabit bahawa Siti Aisyah, 26, dibayar AS$550 (RM2,156) untuk ‘prank’ yang dilakukannya pada 3, 7 dan 11 Februari 2017.

Chang atau Mr. Chang merupakan salah seorang daripada empat lelaki Korea Utara yang masih bebas yang dikatakan terlibat dalam kes pembunuhan Jong-nam, 45.

Selain ‘prank’ menggunakan minyak bayi itu, Siti Aisyah dalam rakaman percakapannya turut menyatakan dia telah diminta oleh James atau Ri Ji U untuk menyapu losyen ke muka ‘mangsa’ dari arah belakang dan segera meninggalkan lokasi.

Pegawai polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA itu berkata demikian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada perbicaraan hari ke-30 terhadap Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, yang didakwa membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Dalam kejadian yang berlaku di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari tahun lalu, pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan ucapan pembukaan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad pada 2 Oktober tahun lalu, pihak pendakwaan menyatakan, Siti Aisyah dan Thi Huong telah diberi latihan ‘mengenakan seseorang’ atau prank sebagai persediaan untuk membunuh abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un itu.

Mahkamah hari ini turut didedahkan dengan luahan perasaan Siti Aisyah di laman sosial Facebook miliknya yang berbunyi: ‘Last day shooting’ (Hari terakhir penggambaran). Mudah-mudahan dikasi kepercayaan lagi, diperpanjangkan lagi kontraknya, Amin. Walaupun badan lelah, tetap semangat.’



Terdahulu, Wan Azirul Nizam tidak bersetuju dengan cadangan Soon Seng bahawa Chang telah meminta Siti Aisyah ke Macau, China pada 8 Februari 2017 bagi melakukan prank dan telah diberikan RM4,000 untuk pembelian tiket penerbangan.

Saksi itu bagaimanapun menjawab ‘tidak pasti’ dengan cadangan peguam bela bahawa kunjungan ke Macau itu telah dibatalkan.

Jong-nam dikesan memasuki Malaysia pada 6 Februari 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 27 Februari ini. - UTUSAN ONLINE