Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu selepas FC Dailova, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukan di sebuah unit kondominium di Pelangi Damansara di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam, 23 September lalu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah restoran didakwa menyimpan gambar lucah di dalam telefon bimbit miliknya dan dituduh mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

FC Dailova turut didakwa tinggal di negara ini tanpa permit yang sah iaitu kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau sebat sehingga enam kali.


Bagi kedua-dua pertuduhan, FC Dailova dihukum penjara masing-masing empat bulan yang diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap iaitu 23 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Firdaous Mohamad Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE