Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Izzah Naziri berkata, siasatan kes pecah amanah itu dijalankan oleh dua pegawai penyiasat, Deputi Superintenden Azlan Ahmad dan Asisten Superintenden Raymond Kona.

Menurut saksi pendakwaan ke-21 itu, kes pecah amanah pertama adalah berkaitan pengeluaran dua keping cek tanpa resolusi dan pelantikan oleh syarikat pengiklanan, Southern Ads Sdn. Bhd. (Southern Ads) kepada firma guaman, Kamal Hisham & Associates.

Sementara kes kedua adalah berkenaan dua ruang niaga di bangunan JB Sentral yang diberi hak oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Southern Ads tetapi disewakan oleh Sou­thern Flame Sdn. Bhd. (Southern Flame) dan duit sewaan dima­sukkan ke dalam akaun firma guaman tersebut.

Nurul Izzah berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud dalam perbicaraan kes terhadap Kamal Hisham yang didakwa atas 17 pertuduhan pecah amanah, terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram (AMLA) dan Akta Syarikat 1965.

Kamal Hisham, 47, diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.

Menjawab soalan pendakwa raya, saksi itu berkata, dia tidak menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar disebabkan siasatannya adalah sambu­ngan hasil siasatan oleh pegawai penyiasat kes pecah amanah dan siasatannya adalah berkenaan pengeluaran wang daripada akaun Kamal Hisham & Associates.

Oleh kerana isu yang timbul adalah lebih kepada penggunaan wang selepas pengeluarannya daripada akaun tersebut, maka katanya, Sultan Johor tidak ada kaitan dengan isu berkenaan.

Jelas pegawai polis itu lagi, dia hanya menjalankan siasatan tentang apa yang berlaku selepas kesalahan pecah amanah dan bukannya kesalahan pecah amanah itu sendiri.

Disebabkan itu, kata Nurul Izzah, dia tidak menyiasat perjanjian sekiranya ada antara syarikat Met Mint (M) Sdn. Bhd. atau Point Convenience Shop Sdn. Bhd. dengan syarikat Southern Flame berhubung isu sewaan ruang niaga tersebut.

Selain itu, katanya, sewaktu siasatan dalam kes pecah ama­nah, tiada sesiapa termasuk tertuduh memaklumkan kepadanya bahawa wang yang digunakan sebenarnya adalah hasil daripada tuntutan yuran guaman oleh Kamal Hisham & Associates.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin bersambung 4 Disember ini.