Shamsubahrin, 51, sebelum ini dihukum penjara lapan tahun dan sebatan empat kali oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Mei 2015 selepas didapati bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Selain itu, Shamsubahrin juga dipe­rintah membayar penalti RM611,895.94 mengikut Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) bagi sejumlah harta yang didakwa dilesapkan.

Terdahulu, Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Shamsubahrin atas sabitan dan hukuman sekali gus menolak rayuan balas pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Hakim Azman dalam penghakimannya berkata, isu-isu yang dibangkitkan dalam rayuan atas sabitan tersebut telah memprejudiskan tertuduh.

“Di dalam prinsip perbicaraan jenayah, apa-apa jua yang menimbulkan prejudis terhadap tertuduh adalah perlu diberi faedah kepadanya.

“Dengan ini, mahkamah memutuskan kesemua sabitan bersalah atas pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan AMLATFA oleh hakim Mahkamah Sesyen digantikan dengan perintah lepas dan bebas,” katanya.

Shamsubahrin kelihatan sebak sejurus selepas keputusan kesnya selesai dibacakan.

Pada 30 Disember 2011, Shamsubahrin yang diwakili peguam Gobind Singh Deo didakwa atas lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan pada 18 Jun 2012, dia didakwa sekali lagi atas 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Shamsubahrin didakwa memperdaya ahli perniagaan itu dengan menjanjikan perkhidmatan rundingan dan nasihat yang tidak benar.

Perbuatan itu didakwa telah mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat ke­ping cek bernilai RM1.75 juta di Restoran Sid’s Pub, di H2, Taman Tunku, Persimpangan Langkat Tunku, Bukit Tunku di sini pada pukul 6 petang, 20 November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.