Shahidan ditemani isterinya, Datin Seri Shamsiah Mohd. Yassin yang kelihatan tersenyum dan tenang ketika masuk ke pekarangan lobi mahkamah.

Kira-kira 10 orang penyokong bekas Menteri di Jabatan Menteri itu turut berada di pekarangan mahkamah bagi memberi sokongan kepada pemimpin kesayangan mereka itu.

Kehadiran Shahidan itu juga ditunggu oleh para pengamal media sejak pukul 7 pagi tadi lagi.

Jumaat lalu, Mahkamah Sesyen di sini, mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahidan kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan kes dipercayai mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Hassan setelah Ketua Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Baru-baru ini, tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan walau bagaimanapun menafikan perbuatan yang didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu itu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut. - UTUSAN ONLINE