Menurut peguam tersebut, permohonan itu akan difailkan dalam minggu ini.

Terdahulu sewaktu sebutan kes, peguam bela, Harvinderjit Singh mencadangkan agar hakim tersebut menarik diri secara sukarela daripada mendengar kes itu atas alasan Hakim Sequerah turut me­ngendalikan kes pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhammad Shafee mewakili Ahli Parlimen Pekan itu dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan didengar oleh hakim sama.

“Sekiranya Yang Arif masih ingin mendengar kes ini, pihak kami akan memfailkan permohonan rasmi. Kami tidak ada sebarang isu dengan dua lagi Hakim Mahkamah Tinggi yang tidak terbabit dengan kes Najib,” ujar Harvinderjit.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah terhadap cadangan itu namun meminta mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

“Saya tidak bersependapat dengan pihak pembelaan. Saya akan terus mendengar kes ini tertakluk kepada permohonan rasmi oleh pihak pembelaan,” ujar Hakim Sequerah.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan selama dua minggu bermula 14 Mei 2019.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram melibatkan wang berjumlah RM9.5 juta melalui dua keping cek milik Najib.