Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang bersidang bersama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim ketika membenarkan rayuannya hari ini.

Mahkamah membenarkan Muhammad Shafee bertindak selaku pencelah selepas berpuas hati kepentingan beliau daripada segi undang-undang akan terjejas ekoran isu pemberian wang berkenaan.

Bagaimanapun, kuorum itu menolak permohonan beliau untuk memadamkan kandungan afidavit baharu yang difailkan oleh seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara, Siti Rahayu Mohd. Mumazaini.

Permohonan untuk memeriksa afidavit itu juga turut ditolak kerana tidak mempunyai merit. Afidavit itu difailkan pada 5 September lalu bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Afidavit tersebut mengikrarkan bahawa Muhammad Shafee menerima wang berkenaan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetuai pihak pendakwaan pada peringkat rayuan kes liwat tersebut.

Afidavit berkenaan difailkan oleh Jabatan Peguam Negara selaku responden untuk digunakan bagi membantah rayuan Anwar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan samannya terhadap Kerajaan Malaysia.

Anwar merayu agar saman pemula itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan. Beliau turut merayu keputusan mahkamah yang menolak permohonannya untuk memaksa Najib dan Muhammad Shafee mendedahkan akaun bank mereka secara terperinci.

Pada 8 November tahun lalu, Hakim Datin Azizah Nawawi membenarkan permohonan kerajaan membatalkan tuntutan itu atas alasan pembayaran RM9.5 juta itu hanyalah dakwaan kosong dan tiada bukti mengenainya dikemukakan.