Peguam Toh Seng Wee yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika pengurusan kes itu hari ini.

Zunar memfailkan permohonan tersebut pada Januari lalu bagi mencabar pengharaman buku kartun tersebut yang berkuat kuasa pada 3 Oktober tahun lalu.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai pihak responden.

Zunar memohon untuk mengetepikan pewartaan pengharaman bukunya yang bertarikh 3 Oktober 2017 serta menuntut ganti rugi am dan khusus berikutan pengharaman itu.

Beliau juga memohon supaya mahkamah mengisytiharkan perintah dan warta itu sebagai tidak sah, salah dan tidak memiliki kuasa perundangan kerana menyalahi Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 serta melanggar Perkara 5 (Kebebasan Individu) dan Perkara 8 (hak kesamarataan) dan Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan untuk kebebasan bersuara.

Dalam afidavit sokongannya, Zunar, 55, menyatakan, beliau telah melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu-isu politik semasa di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor pada 13 September 2015.

Karya tersebut adalah himpunan karikatur keadaan politik semasa sejak 2015 yang dikumpul daripada Facebook beliau dan penerbitan lainnya.

Menurut Zunar, buku tersebut telah dijual di pasaran selama dua tahun sebelum perintah pengharaman itu dikuatkuasakan dan berasa terkejut kerana responden tidak menunjukkan sebarang bukti penerbitan bukunya dapat menggugat ketenteraman awam.- UTUSAN ONLINE