Adnan dalam pernyataan pembelaan bertarikh 5 Mac lalu memberitahu telah membayar sebanyak RM210,000 bagi semua prosi­ding di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Beliau sehubungan itu menganggap tuntutan kedua-dua plaintif sebagai pramatang.

Adnan juga mendakwa, beliau tidak pernah melantik Ame­rick sebagai peguamcara sebaliknya plaintif kedua itu dilantik oleh Manjeet untuk membantu menyediakan dokumen prosi­ding bagi pihak plaintif pertama (Manjeet) dan tiada kaitan de­ngan pihak defendan (Adnan).

Penyataan pembelaan itu difailkan oleh Adnan ekoran tuntutan saman oleh Manjeet dan Americk terhadapnya kerana didakwa tidak menjelaskan bayaran yuran guaman berjumlah RM214,825 bagi tindakan undang-undang yang diambilnya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) kira-kira empat tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 11 Januari lalu di Mahkamah Sesyen di sini, kedua-dua plaintif menyatakan, Adnan telah melantik Manjeet pada 18 November 2014 sebagai peguam beliau untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas UMMB.

Manjeet mendakwa dengan persetujuan dan perjanjian dengan Adnan, beliau melantik Americk sebagai peguam bersama dalam kes terhadap UMMB yang ditetapkan untuk pendengaran pada 27 Julai dan 1 September 2015.

Kira-kira dua minggu sebelum perbicaraan, UMMB memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan Adnan atas alasan pihak defendan tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mengemukakan tuntutan tersebut. Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan UMMB namun Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan UMMB.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun membenarkan rayuan Adnan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada UMMB selain memerintahkan supaya tindakan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Pihak plaintif telah mengemukakan satu bil untuk kesemua prosiding Mahkamah Persekutuan dan defendan telah menjelaskan sepenuhnya.

Kes saman Adnan terhadap UMMB telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi antara 7 Ogos dan 11 Ogos 2017 namun tuntutan itu berjaya diselesaikan dengan baik selepas rundingan dengan peguam terlibat.

Plaintif kedua telah menyediakan satu bil terperinci mengenai kos-kos yang dihadiri kedua-dua plaintif untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan namun mendakwa pihak defendan telah gagal dan cuai untuk melunaskan pembayaran berjumlah RM214,825 berserta faedah pada kadar lapan peratus setahun dari 11 Ogos 2017 sehingga penyelesaian.

Perbicaraan kes saman terhadap Adnan itu akan didengar oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 26 April ini.