Perkara itu dimaklumkan peguam Shahidan, Zuhair Ahmad Zakuan selepas anak guamnya itu menerima dokumen perbicaraan bagi pertuduhan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Katanya, penyerahan dokumen perbicaraan tersebut dilakukan terus kepada anak guamnya mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

"Kes ini kemudian ditetapkan untuk pengurusan kes pada 15 Februari depan," katanya di sini, hari ini.

Tambah Zuhair, Shahidan didapati masih tidak sihat dan terpaksa bertongkat ketika menghadiri prosiding mahkamah itu.

"Mahkamah sebelum ini menetapkan 18 Februari depan untuk penyerahan dokumen perbicaraan, namun diawalkan pada hari ini kerana sesuai dengan tarikh semua pihak," ujarnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail sementara tertuduh diwakili peguam, Zuhair dan Thalia Rohaina Abdul Latiff.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Shahidan tidak dapat hadir ke mahkamah pada 8 Januari lalu selepas dimasukkan ka Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada 12 November tahun lalu, Shahidan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mencabul seorang gadis bawah umur meskipun keluarga remaja itu sudah menarik balik laporan terhadap Ahli Parlimen Arau itu, sebelum ini.

Ahli Parlimen Arau itu walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selain berharap keadilan dan kebenaran akan dapat ditegakkan dalam kes berkenaan.

Beliau didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dalam sebuah kereta Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan. - UTUSAN ONLINE