Peguam syarie, Ismail Mohamad berkata, tarikh itu ditetapkan ketika kes disebut di hadapan Pendaftar, Aminullah Bahrin di kamar hakim di sini hari ini.

“Permohonan pengesahan ni­kah membabitkan anak guam saya dan bekas suaminya yang berlangsung di Thailand akan dibicarakan di hadapan hakim pada Selasa hadapan.

“Selepas tamat permohonan pengesahan pernikahan itu, kita akan meneruskan pula dengan prosiding penceraian membabitkan kedua-dua individu terbabit,” katanya.

Joy yang merupakan isteri kepada penyanyi, Hafiz Hamidun turut diwakili peguam syarie, Mohd. Nurhafiz Roslan dan Aznor Suhaida Dolah.

Yang turut hadir pada prosiding itu ialah bekas suami Joy yang juga pengasas Cashmere Skin, Ray atau nama sebenarnya, Mohd. Rayos Abdul Rahim bersama peguam syarie, Hazwan Mohd. Nor.

Joy dan Ray bernikah di Songkhla, Thailand pada 10 Januari 2013 namun tidak didaftarkan di Malaysia. Selepas tiga tahun, pasangan tersebut bercerai melalui aplikasi WhatsApp.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai prosiding antara Hafiz dan Joy Khamis nanti, Ismail menjelaskan, status perkahwinan kedua-dua individu terbabit masih sah sebagai suami isteri.

“Permohonan faraq bukannya pembubaran perkahwinan tetapi bermaksud perpisahan sementara sehingga isu ini selesai. Oleh itu, mereka masih lagi suami isteri kerana tiada sebarang permohonan penceraian.

“Sekiranya mahkamah mengesahkan bahawa perkahwinan dan penceraian Joy dan bekas suaminya sah, maka isu yang ditimbulkan Hafiz selesai,” ujarnya.

Sementara itu, Hazwan berkata, kehadirannya bersama anak guamnya adalah bagi memberi kerjasama sepenuhnya berhubung prosiding pernikahan dan penceraian.

“Saya berharap perbicaraan berlangsung dengan lancar ke­rana kejadian ini benar-benar menjejaskan nama dan imej anak guam,” katanya.