Gambar-gambar berkenaan yang diambil pada 14 September 2017 merupakan gambar tempat kejadian dan bedah siasat mangsa yang dilakukan di bilik mayat, Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Sebanyak 102 keping gambar tempat kejadian dikemukakan melalui keterangan saksi pendakwaan keenam, Pegawai Bomba Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd. Nurul Adha Abdul Majid, 32.

Baki 100 keping gambar bedah siasat itu pula dikemukakan melalui keterangan saksi pendakwaan ketujuh, Jurufoto Cawangan Fotografi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Koperal Mohd. Zukri Ismail, 54.

Terdahulu, Mohd. Nurul Adha dalam keterangannya berkata, dia bersama tiga lagi pegawai lain tiba di pusat tahfiz berkenaan pada pukul 8 pagi, 14 September tahun lalu.

“Ketika itu, atas arahan ketua pasukan, saya ditugaskan untuk mengambil gambar tempat kebakaran bermula di pintu masuk bangunan hingga ke tingkat atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan hari ketiga terhadap dua remaja lelaki yang didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz ber­kenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-duanya yang kini berusia 17 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar ma­sing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perbicaraan yang turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.