Tertuduh, Nigeria Egwuasu Bernard Nnaemeka dan Egwuasu Chimiezie Benjamin, kedua-duanya berusia 32 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah dan Nor Azizah Aling.

Di Mahkamah Majistret 1, kedua-dua tertuduh didakwa memperdaya Nor Faizah Othman, 48, bahawa mereka akan menghantar barangan berharga kepada mangsa sehingga memperdaya wanita itu menyerahkan wang tunai berjumlah RM148,490.

Di Mahkamah Majistret 2 pula, kedua-dua tertuduh didakwa menipu Syazwani Othman, 19, untuk membeli motosikalnya yang diklankan di laman sosial Mudah.my sehingga memperdaya mangsa menyerahkan wang tunai RM3,500.

Kedua-dua mereka yang merupakan sepupu didakwa di bawah Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khatijah Mohd. Pisol dan Mohamad Shahrizzat Amadan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nurunaim dan Nor Azizah menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. - UTUSAN ONLINE