R. Dinishwaran, 26, yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes berkenaan juga memberitahu dia tidak mengetahui langsung mengenai kejadian yang menimpa Kevin Morais.

Dinishwaran berkata, dia menyerah diri di Balai Polis Sentul di sini pada 21 September 2015 selepas mengetahui polis mencarinya melalui hebahan akhbar.

“Saya tidak ditangkap sebaliknya saya menyerah diri di Balai Polis Sentul selepas kakak saudara saya beritahu gambar saya ada dalam surat khabar.

“Saya tidak membunuh, saya tidak tahu kenapa saya dituduh dan saya tidak tahu apa yang berlaku,” kata Dinishwaran ketika menjawab soalan peguam V. Rajehgopal yang mewakilinya ketika pemeriksaan utama dalam perbicaraan peringkat bela diri yang masuk hari ketiga hari ini.

Saksi pembelaan kedua itu berkata, selepas menghantar dua lagi tertuduh iaitu A.K. Thinesh Kumar, 25, M. Vishwanath, 28, ke perhentian bas kerana mereka ingin pulang ke Kedah, dia bersama seorang lagi tertuduh, S. Nimalan, 25, telah pergi ke kedai milik G. Gunasekaran, 49, yang dikenali sebagai Jay untuk membersihkan premis berkenaan yang dalam pengubahsuaian.

“Masa saya, Nimalan dan S. Ravi Chandaran, 47, (Selvam) sampai di kedai tersebut, tong berisi simen sudah berada di situ dan Ravi Chandaran memberitahu Nimalan, yang Jay tidak perlukan lagi tong itu.

“Tidak ada darah di tong cuma ada tumpahan cat berwarna merah sahaja,” katanya yang turut memberitahu mereka menggunakan jentera pengangkat forklift untuk memasukkan tong itu ke dalam kereta Mitsubishi Triton sebelum Selvam dan Nimalan membuangnya.

Sementara itu, Dinishwaran juga mengulangi pendirian yang sama yang dia tidak melakukan perbuatan (membunuh) itu ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin yang bertanya mengenai tindakannya menyerah diri.

“Jika saya buat kesalahan itu, saya tidak akan menyerah diri, saya akan melarikan diri. Itu sebab saya serah diri,” katanya.

Kelima-lima tertuduh itu didakwa bersama-sama pakar patologi tentera, Dr. R. Kunaseegaran, 55, membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Su­bang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.

Habis