“Saya tidak menerima sebarang habuan kewangan mahupun dalam bentuk harta benda kerana menarik laporan polis tersebut yang dibuat pada 18 Ogos 2018. Saya membuatnya secara sukarela,” kata Melvin Cheong Mun Khai, 22.

Jelasnya, dia menarik semula laporan tersebut kerana sukar memberikan komitmen untuk hadir ke mahkamah dan memantau perkembangan kes ekoran waktu kerjanya yang bermula dari malam hingga ke pagi.

Pada 19 September, Rela membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat tindakan Mun Khai yang menarik balik laporan polis terhadap lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ kerana mendakwa terdapat keraguan atas tindakan mangsa.

Pada 7 September lalu, Mahkamah Majistret Ampang melepas tanpa membebaskan Liow Soon Hee, 30, daripada dua tuduhan iaitu mencedera dan menyerang seorang anggota Rela yang sedang menjalankan tugas, tahun lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan bahawa seorang daripada tiga mangsa dalam kes itu telah menarik balik laporan polis. - UTUSAN ONLINE