Demikian reaksi ringkas isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika menuju ke kenderaannya di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini selepas didakwa atas 17 pertuduhan membabitkan diri dengan pengubahan wang haram melibatkan wang lebih RM7 juta.

Rosmah, 67, yang memakai baju kurung bercorak bunga dan berselendang warna jingga itu sempat mengucapkan terima kasih dan I love you serta melambai-lambai tangan ke arah para penyokongnya yang hadir sejak awal pagi.

Reaksi ringkas itu dizahirkan beliau ketika ditemui pembe­rita sebelum beredar bersama suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sempat mengangkat tangan dan kelihatan tersenyum.

Najib dan Rosmah diiringi beberapa anggota polis menuju ke kenderaan mereka. Para pengamal media dan para penyokong menjerit memanggil ‘Datuk Seri, Datin Seri’ ketika pasangan tersebut memasuki kereta Proton Perdana warna hitam.

Lebih 30 penyokong yang ha­dir termasuk Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB), Datuk Lokman Noor Adam di kompleks mahkamah bagi memberi soko­ngan kepada Ahli Parlimen Pekan itu dan isterinya.

Menurut sumber di kaunter bayaran jamin di tingkat bawah kompleks mahkamah itu memberitahu dua rakan wanita Rosmah membayar jaminan sebanyak RM500,000 pada pukul 11 pagi.

Terdahulu, sekumpulan penyokong Najib dihalang daripada memakai pengikat kepala bertulis 'Henti salah guna AMLA' ketika berkumpul di pekarangan mahkamah.

Salah seorang penyokong bersama pelakon terkenal, Ellie Suriaty Omar ditegur oleh beberapa pegawai polis yang bertugas dan diminta untuk menanggalkan lilitan kepala yang dipakai oleh lelaki itu.