Malah, Mohd. Syafiq Abdullah, 22, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menegaskan biarpun bilik berkenaan hanya diterangi cahaya daripada lampu meja, dia nampak kejadian tersebut.

Bekas penuntut jurusan Sumber Manusia itu turut menafikan dia memberi keterangan tersebut ekoran takut dibuang daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya pasti...saya nampak siapa yang buat,” katanya menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad ketika sesi pemeriksaan balas dalam perbicaraan hari ke-18 berhubung kes kematian Zulfarhan Osman.

Dalam kes tersebut, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Saksi pendakwaan ke-25 itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa dia tidak dapat mengingati dengan jelas bahagian tubuh badan mana yang dipukul dan ditekap seterika itu.

“Saya pasti siapa yang pukul, cuma bahagian mana mungkin tak berapa ingat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Syafiq memberitahu yang tertuduh pertama dalam kes kematian Zulfarhan Osman iaitu, Muhammad Akmal Zuhairi tidak menyatakan akan memukul mangsa sebaliknya hanya inginkan penjelasan mengenai kehilangan komputer ribanya.

Malah, ujarnya, Muhammad Akmal Zuhairi juga tidak mengetahui tentang perjumpaan kedua dengan mangsa yang diadakan pada 22 Mei 2017 di bilik 4-10.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. - UTUSAN ONLINE