Sebaliknya, A.K. Thinesh Kumar, 25, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, kehadirannya ke kota metropolitan ini adalah untuk melancong di samping menghantar datuk seorang lagi tertuduh, S. Nimalan, 25, ke lapangan terbang.

Lelaki itu berkata, dia datang ke Kuala Lumpur bersama Nimalan, datuk Nimalan serta dua lagi tertuduh iaitu M. Vishwanath, 28, dan S. Ravi Chandaran, 47, pada malam 2 September 2015.

“Saya datang bawa datuk Nimalan ke Kuala Lumpur (KL) kerana dia ingin pergi ke India, lagipun ini adalah kali pertama saya datang ke sini dan saya ingin melancong di sekitar KL,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguam V. Rajehgopal yang mewakilinya dalam perbicaraan peringkat bela diri yang masuk hari kelima hari ini.

Dalam keterangannya, saksi pembelaan ketiga itu turut berkata, hanya Nimalan dan Vishwanath mengetahui tentang kemalangan itu kerana Nimalan yang memandu kereta Mitsubishi Triton ketika itu.

“Ketika itu saya minum arak, mabuk teruk dan tidak cukup tidur. Masa naik kereta itu, saya terus tidur dan tidak tahu apa-apa yang berlaku.

“Sebab itu saya katakan hanya mereka yang tahu kerana saya tidak sedar. Saya bukan nak selamatkan diri saya dan tolak perkara itu kepada mereka,” kata Thinesh Kumar.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin mengenai kemalangan yang berlaku, saksi itu memberitahu, dia tidak tahu kenderaan Mitsubishi Triton yang dinaikinya bersama Nimalan, Vishwanath dan R. Dinishwaran, 26, terlibat dalam kemalangan dengan kereta Perdana yang dinaiki Kevin Morais pada 4 September 2015.

Kelima-lima tertuduh itu didakwa bersama-sama pakar patologi tentera, Dr. R. Kunaseegaran, 55, membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Su­bang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.