EZLYNN

Demikian janji penyanyi yang terkenal dengan lagu berjudul Hi Hi Bye Bye, Ezlynn selepas dia dan pasangannya, Adam Fahmy Shamsuddin sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

“Saya lega de­ngan keputusan ini, sepanjang perkahwinan kami, dia (Adam Fahmy) banyak mengabaikan dan tidak pernah memikirkan mengenai perasaan saya. Peluang yang diberikan ini sudah terlalu lama dan ia sudah cukup,” kata Ezlynn yang pernah membintangi filem Zombi Kampung Pisang.

Penyanyi itu turut memuat naik status bergambar di laman Instagramnya kira-kira tiga jam selepas prosiding di mahkamah dengan kenyataan sah bercerai dan berterima kasih kepada yang mendoakannya selain menegaskan dia akan menuntut nafkah daripada bekas suaminya itu.

ADAM FAHMY SHAMSUDDIN
ADAM FAHMY SHAMSUDDIN

Terdahulu, Adam Fahmy, 38, melafazkan talak satu itu tepat pukul 10.30 pagi di hadapan Hakim Syarie, Noorbyetty Nasir selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai oleh Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, 36.

Sebelum lafaz cerai dibuat, Noorbyetty telah mengarahkan Ezlynn dan Adam Fahmy bersalam-salaman dan bermaafan antara mereka berdua.

Ezlynn menerusi peguam syarie, Izyan Hazwani Ahmad memfailkan permohonan cerai secara baik pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dengan alasan antaranya tiada persefahaman dan tiada kasih sayang dalam perkahwinan mereka.

Sementara itu, Adam Fahmy yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia cuba menyelamatkan rumah tangga mereka dengan mencari jalan pendamaian namun Ezlynn tetap mahu mempercepatkan proses penceraian.

“Saya tidak sanggup difitnah lagi, hari ini saya telah menceraikannya dan perkara ini berlaku disebabkan Ezlynn yang nusyuz dan derhaka kepada saya. Keputusan untuk bercerai ini adalah kerana tidak tahan dengan fitnah Ezlynn di laman sosial sehingga saya dan keluarga mendapat malu,” katanya.

Adam Fahmy yang juga pengurus peri­badi artis tersebut turut memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan nusyuz (derhaka atau perintah kembali taat) terhadap Ezlynn pada masa terdekat.

Ditanya mengenai dakwaan Ezlynn berhubung isu pecah masuk dan merompak di rumahnya baru-baru ini, Adam Fahmy membe­ritahu bahawa rumah itu adalah milik mereka dan Ezlynn telah menukar kunci mangga tanpa pengetahuannya.

“Dia telah menuduh saya mengambil barangan peribadi miliknya sedangkan barang yang diambil kepunyaan saya malah saya telah mengambil gambar sebagai bukti dan diakui oleh anggota polis,” katanya.

Ezlynn yang memakai baju berwarna merah hadir ke mahkamah bersama wakil jawatankuasa hakam (timbang tara) iaitu ayahnya, Ariffin Alang Ahmad, 68, dan kakaknya manakala Adam Fahmy hadir bersama wakil iaitu rakan baik, Fazrul Rizal Abdul Ghani, 41, dan adik perempuannya.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 namun sepanjang perkahwinan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.