Tertuduh, Darmadi Sulaiman, 35, hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadap­nya dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Abdul Rahman Pileh, 60, di sebuah kediaman di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang di sini antara pukul 7.40 malam dan 8.10 malam, 14 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, Darmadi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa merompak dan sengaja men­da­tang­kan cedera terhadap Sabturiah Lakidau, 59, pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zaka­ria memohon tarikh untuk laporan kimia, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Norina menetapkan 5 September ini untuk serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Pada 15 Julai lalu, suspek dilaporkan sempat beraya di rumah mangsa pada petang hari kejadian sebelum menyamun pasangan terbabit pada malam tersebut.

Dalam kejadian itu, isteri mang­sa mengalami kecederaan parah dengan kesan tetakan pada muka, tangan dan badan.

Suspek sebelum ini telah direman selama dua minggu bermula 15 Julai lalu apabila berjaya ditahan pihak polis di sekitar kawasan perumahan berkenaan kira-kira dua jam selepas kejadian tersebut.