Mohd. Faizal Sinorcho, 31, atau lebih dikenali sebagai ‘Sarjan Faiz’ membuat pe­ngakuan itu sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa melarikan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dengan niat mengurungnya secara sulit dan salah.

Tertuduh didakwa me­lakukan perbuatan itu dengan menyamar sebagai seorang anggota polis berpangkat sarjan sedangkan dia mengetahui dia tidak memegang jawatan itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, di sini pada kira-kira pukul 11 pagi, 27 Disember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Sesyen 365 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun serta denda.

Untuk kesalahan kedua, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 170 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Faizal yang tidak diwakili peguam turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam berjenama STI tanpa permit pada pukul 12 tengah hari, hari yang sama berhampiran sebuah kedai motosikal di sini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Dalam satu kes berasingan, Mohd. Faizal didakwa di bawah dua pertuduhan menipu serta memperdaya seorang warga emas, Fatimah Sulaiman, 64, dengan menyamar sebagai Inspektor Khuzairi daripada Ibu pejabat Polis Daerah Raub.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah meminta mangsa menyerahkan wang sejumlah RM500 dengan memasukkannya dalam akaun V. Aravintan jika tidak mahu kertas siasatan dibuka terhadap seorang anaknya berhubung kesalahan penyalahgunaan dadah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 6.30 petang, 9 Disember 2016, di tempat yang tidak dinyatakan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan 170 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pegawai Pendakwa, Mohd. Faizal Shamsir kemudian memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kes itu mendapat perhatian umum.

Majistret kemudian meme­rintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 48 bulan untuk tiga pertuduhan bagi kes pertama, bermula tarikh tangkap pada 6 Januari lepas.

Bagi dua pertuduhan kes kedua pula, mahkamah mengarahkan agar tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara untuk kes pertama dan lima kali sebatan. – BERNAMA