Tertuduh, Sarjan Rasyidah Onn, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. 


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan sebanyak RM6,500 daripada Ahmad Firdaose Ramlan, 31, untuk tidak menuduhnya adiknya, bersama tiga rakan yang lain kerana memiliki air ketum.


Kesalahan itu dilakukannya pukul 11.13 pagi, melalui panggilan telefon di Pejabat Surahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri pada 16 Mac lalu. 


Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa masing-masing bersetuju dan menerima wang suapan sebanyak RM6,000 daripada individu sama bagi tujuan sama sekitar pukul 2.27 hingga 4.35 petang di IPD Alor Gajah dan restoran Pizza Hut Delivery di Pusat Perniagaan Jelatang, Alor Gajah pada hari sama. 


Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika suapan itu berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. 


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM negeri, Ong Cheng Hian manakala tertuduh diwakili Peguam James Thanjong Tuan. 


Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Meor Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 27 April depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE