Perkara tersebut dimaklumkan kepada Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah oleh peguam syarie, Marlina Amir Hamzah yang mewakili Sari Yanti atau nama sebenarnya, Sari Yanti Mohamad Nazari, 32, ketika pasangan itu hadir ke mahkamah semalam.

Menurut Marlina, terdapat persetujuan direkodkan daripada kedua-dua pihak selain memohon kes itu didengar di kamar hakim.

Abd. Halim membenarkan permohonan defendan, Sari Yanti agar prosiding dibuat di kamar hakim selepas mendapat persetujuan Mohd. Edy Casmadi, 36, selaku pihak plaintif.

Kedua-dua pihak yang ditemui di pekarangan mahkamah selepas prosiding di kamar hakim yang mengambil masa kira-kira 15 minit, bagaimanapun enggan menjawab sebarang pertanyaan pihak wartawan.

Permohonan nusyuz terhadap artis tersebut dikemukakan oleh Mohd. Edy Casmadi yang merupakan ahli perniagaan pada 17 Disember 2014 mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.

Pada 17 Disember 2014, Mahkamah Rendah Syariah di sini diberitahu bahawa Sari Yanti dan Mohd. Edy Casmadi telah bercerai secara tebus talak sebanyak RM10,000 di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan.

Perceraian tersebut adalah rentetan daripada tuntutan cerai yang dibuat oleh Sari Yanti pada 25 Februari 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.

Hasil perkongsian hidup dengan Mohd. Edy Casmadi selama lima tahun, Sari Yanti dikurniakan dua anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 6, dan Basit Al-Haq, 4. - UTUSAN ONLINE