Hakim Datuk Azman Abdullah turut menjatuhkan hukuman sebat tiga kali terhadap Adly Azman dan Aszrul Nizam Zainal Badol Hizam selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz dan Aznika Mohd. Anas.

“Sedangkan bawa senjata ketika melakukan samun pun boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun, inikan pula kamu yang bawa dan menggunakan senjata ketika menyamun,” ujar hakim itu yang turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa pada 15 Mac lalu.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun tanpa sebatan selepas kedua-dua penganggur itu mengaku salah atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan menggunakan pisau pemotong sayur terhadap pekerja kedai serbaneka, KK Mart warga Bangladesh, Md. Abu Satter di kedai terbabit yang terletak di Jalan Suasa, Pekan Sungai Besi di sini kira-kira pukul 4 pagi, 22 Ogos 2017.

Dalam kejadian itu, Adly, 26, dan Aszrul Nizam, 24, telah merompak wang tunai RM386.70, seunit telefon bimbit dan alat bantuan digital peribadi (PDA), sekeping coklat, satu bekas aiskrim dan 186 kotak rokok pelbagai jenama.

Jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM8,055.

Kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam bela itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 serta Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.