Pengakuan tidak bersalah Samirah Muzaffar, 44, itu direkodkan buat kali pertama oleh Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman hari ini selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Majistret Petaling jaya.

Turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa ialah dua remaja berusia 13 dan 16 tahun.Samirah, bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan remaja terbabit dituduh secara berasingan.

Kesemua tertuduh bersama-sama seorang yang masih bebas iaitu wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa melakukan pembunuhan dan menyebabkan kematian mangsa di kediaman mereka di Mutiara Damansara di sini antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Perbi­caraan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Zain Ibrahim, manakala Samirah diwakili peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Dua remaja terbabit diwakili peguam bela, LS Leonard, Salim Bashir dan Hisyam Teh Poh Teik manakala peguam bela, S. Selvi mewakili tertuduh warga Indonesia yang masih bebas. Turut mengikuti prosi­ding adalah penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar, iaitu bapa Samirah serta ahli keluarga tertuduh lain.

Sementara itu, Mohd. Zain berkata, 75 saksi sudah dirakam percakapan berhubung kes ini, namun pihaknya tidak pasti berapa ramai dipanggil untuk menjadi saksi pendakwaan.

“Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan dan kami membantah jaminan,” katanya.

Ab. Karim menetapkan 11 April ini untuk pengurusan kes itu. Mahkamah mengarah­kan pembelaan memfailkan adu­an rasmi berhubung aduan daripada anak guam masing-masing.

Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu, Samirah telah diasingkan daripada banduan lain dan diletakkan di bilik gelap Penjara Kajang manakala Hisyam memaklumkan remaja berusia 16 tahun yang kini ditempatkan di Asrama Sentosa, Sentul telah di­serang secara fizikal dan seksual.