SHILA AMZAH

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Firuz Jaffril ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan kenyataan yang dibuat oleh Shila atau nama sebenarnya Nurshahila dan bapanya, Amir Hamzah Salleh yang dinamakan sebagai pihak defendan tidak mempunyai sebarang niat jahat.

N. D. LALA
N. D. LALA

“Saya mendapati sidang media itu dilakukan tanpa niat jahat, tujuan sidang media dijalankan juga jelas dan kenyataan yang dibuat pada acara tersebut tidak berbaur fitnah,” katanya.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat pada majlis tersebut juga dilakukan atas komen yang saksama kerana menarik perhatian dan berdasarkan fakta.

Terdahulu, sebelum menetapkan kos RM30,000, Firuz menyatakan, seorang artis dan media saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

“Artis memerlukan media untuk memajukan kerjaya mereka manakala media perlukan artis untuk menaikkan jualan akhbar mereka. Kos yang diminta pihak defendan sebanyak RM100,000 adalah keterlaluan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, wartawan hiburan akhbar Kosmo!, Maliah Surip dan wartawan hiburan akhbar Utusan Malaysia, Mohd. Ifqdar Abdul Rahman selaku plaintif diwakili peguam-peguam Ellia Zuraini Mat Zin serta Ummi Farhanah Mohd. Nasir manakala Shila dan bapanya diwakili peguam, Mahendran Kumar.

Hanya Mohd. Ifqdar hadir di mahkamah hari ini.

Pada 17 Disember 2015, Maliah Surip dan Mohd. Ifqdar memfailkan saman itu atas dakwaan kedua-dua defendan telah memfitnah mereka.

Menurut pernyataan tuntutan, pada 15 September 2014, defen­dan telah memuat naik sekeping gambar dengan kapsyen mempersoalkan media Melayu yang dikatakan lebih berminat menulis gosip berbanding pencapaian artis Melayu.

Kedua-dua defendan kemudian telah mengadakan sidang media di Mega Music World, Cheras di sini pada 24 September 2014 untuk menjawab persoalan dan memberi penjelasan kepada para wartawan hiburan mengenai gambar tersebut.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak saman Shila terhadap seorang wartawan hiburan dan dua pihak lain berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 September 2014.